Kontroversi Tabung Haji Beli Tanah 1MDB Di TRX Exchange - Qiss.me

Kontroversi Tabung Haji Beli Tanah 1MDB Di TRX Exchange

Kontroversi Tabung Haji Beli Tanah 1MDB Di TRX Exchange. Umum sedia maklum yang Tabung Haji telah membeli sebidang tanah di TRX Exchange dari 1MDB yang mengundang reaksi negatif dari ahli politik dan pendeposit Tabung Haji. Sebelum ini Lembaga Tabung Haji (TH) pada 7 Mei 2015 telah mengesahkan pembelian sebidang tanah bernilai RM188.5 juta di Pusat Kewangan Tun Razak Exchange (TRX) milik 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bagi pembangunan sebuah menara kediaman.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Johan Abdullah, berkata pembelian itu adalah sejajar dengan strategi pelaburan hartanah TH yang memberikan tumpuan kepada sektor domestik.

“Pelaburan ini adalah keputusan komersial yang menepati selera risiko dan telah melalui semua proses penilaian dalaman yang terperinci.

“Pembelian hartanah pada harga RM188.5 juta adalah pada kadar diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa dan ia telah dinilai oleh sebuah badan penilai bebas profesional,”
Tabung Haji dan 1MDB
Cadangan pembangunan kediaman itu akan dibangunkan oleh anak syarikatnya, TH Properties Sdn Bhd yang dijangka memberi pulangan positif kepada Kumpulan TH pada masa hadapan.

Bagaimanapun TH menafikan pembelian Signature Tower (Fasa 2) seperti yang dilaporkan beberapa blog tertentu. Lembaga Tabung Haji juga menegaskan keputusan membeli tanah seluas 0.63 hektar (1.56 ekar) bernilai RM188.5 juta dalam pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) bukan tindakan menyelamat atau ‘bail out’ 1MDB tetapi telah melalui proses penilaian wajar di semua peringkat.

Lanjutan daripada pembelian ini, beberapa pihak lapisan masyarakat telah mendesak agar Kementerian Kewangan dan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) memberi penjelasan berhubung pembelian sebidang tanah oleh Tabung Haji daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur.
 

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak terkecuali turut menzahirkan rasa kurang senang beliau dengan perkembangan mutakhir membabitkan Lembaga Tabung Haji melalui catatan terbaharunya di blog chedet.cc. Tun Dr Mahathir menyatakan kesedihannya apabila wang caruman Tabung Haji digunakan untuk pemulihan hutang 1MDB melalui pembelian tanah seluas satu setengah ekar milik 1MDB pada harga RM188.5 juta.
“Wang yang ditabung sejak penubuhan Tabung Haji sudah meningkat sehingga ribuan juta ringgit. Wang ini boleh dilabur supaya keuntungan dapat membantu pengurusan Tabung Haji dan subsidi kepada bakal haji.

“Wang Tabung Haji adalah daripada pencarum dan Tabung Haji hanya diamanahkan untuk mengurus dengan baik, dengan cara yang dihalalkan oleh Islam. Wang ini bukan milik Tabung Haji,”
Mahathir turut membandingkan nilai harga tanah seluas 70 ekar Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli 1MDB pada harga RM194.1 juta, sedangkan Tabung Haji membeli hanya satu setengah ekar pada harga RM188.5 juta.

“Untung besarlah 1MDB. Sebenarnya tanah ini, asalnya untuk mengadakan pusat dagangan bumiputra. Tetapi 1MDB telah mengenepikan projek ini. Inikah cara Tabung Haji mengguna duit orang ramai yang diamanahkan kepadanya?” soal Dr Mahathir.

Tambah beliau, pencarum berharap duit yang disimpan dengan Tabung Haji dapat diurus untuk faedah mereka, tetapi masalahnya wang itu digunakan pula untuk menyelamatkan 1MDB yang kerugian berbilion ringgit.

“Rancangan ini perlu dibatal sekarang juga,” tegas Dr Mahathir.


Berita terkini 9 Mei 2015
Tabung Haji (TH) memutuskan untuk menjual semula satu plot tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada pertimbangan RM188.5 juta sebelum ini. TH dijangka meraih keuntungan lebih RM5 juta daripada penjualan plot tanah itu seluas 1.56 ekar. Pengerusi TH, Datuk Abdul Azeez Rahim, berkata setakat ini sudah ada tiga pihak sedia membeli tanah ini dan urusan jual beli tanah ini akan dilaksanakan TH minggu depan.


Keputusan menjual semula tanah dibuat atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi mengelak penyebaran fitnah secara berterusan, selain meredakan persepsi kurang baik dalam kalangan pendeposit. Ahli Lembaga Pengarah TH yang juga Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Tan Sri Abdul Syukur Hussein juga berkata keputusan menjual semula itu dibuat bagi menghentikan fitnah daripada berterusan.

Artikel terkait

0 Orang Menanggapi Artikel "Kontroversi Tabung Haji Beli Tanah 1MDB Di TRX Exchange"

Post a Comment