Apakah Tujuan Program PLKN Dilaksanakan - Qiss.me

Apakah Tujuan Program PLKN Dilaksanakan

Tujuan Program PLKN Dilaksanakan. Apakah Maksud Khidmat Negara? Latihan Khidmat Negara (LKN) adalah satu program pembinaan sahsiah diri bermatlamatkan untuk membina dan mengukuhkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni. Program ini bukanlah Kerahan Tenaga dan tidak mengikut mana-mana model daripada luar kerana dilaksanakan ala Malaysia berteraskan tiga modul utama.

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan dilaksanakan bagi mencapai objektif yang telah digariskan seperti berikut:
  •     Meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda.
  •     Memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional.
  •     Membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.
  •     Menyemarakkan semangat kesukarelaan.
  •     Melahirkan generasi muda yang lebih cergas,cerdas dan penuh keyakinan diri.
transformasi plkn
Pelaksanaan PLKN
Dalam melaksanakan Program Khidmat Negara ini,beberapa aspek penting telah diambil kira iaitu seperti:
  •     Jangka masa latihan selama 3 bulan secara berkhemah dan berasrama.
  •     Pelaksanaan telah dimulakan pada tahun 2004.
  •     Kemudahan infrastruktur latihan dan kemudahan-kemudahan asrama seperti yang terdapat di kem-kem PLKN seluruh negara.
  •     Implikasi kewangan.
  •     Menghadkan kesan ke atas sistem pembelajaran yang sedang berjalan.
  •     Guna tenaga dari segi kepakaran dan pengalaman.
MODUL FIZIKAL
Modul Fizikal adalah sebuah modul yang dilaksanakan untuk membina kemahiran dan ketahanan mental, emosi, spiritual serta fizikal bagi menjadikan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai warganegara yang kuat dan tabah dalam menghadapi situasi yang mencabar. Secara khususnya, latihan-latihan yang dilalui dapat mengeratkan perpaduan di kalangan peserta, mempertingkatkan ketabahan bagi tujuan hidup (survival), daya kepimpinan, disiplin dalaman, keyakinan diri, kemahiran bekerja sebagai ahli satu pasukan, kemahiran menyelesai masalah, membuat keputusan secara individu dan dalam kumpulan. Di samping itu, peserta akan didedahkan oleh para jurulatih untuk mempelajari melalui pengalaman dalam aktiviti-aktiviti seperti kecergasan fizikal, kawad kaki, ikhtiar hidup dan perkhemahan, pertolongan cemas, navigasi, latihan air, latihan tali, tempur tanpa senjata, pembinaan pasukan dan lain-lain. Modul ini dilaksanakan selama 141 jam latihan di dalam kelas dan di kawasan litar latihan di kawasan persekitaran kem.

MODUL KENEGARAAN
Modul Kenegaraan adalah sebuah modul yang diaplikasikan untuk memperluaskan pengetahuan tentang kenegaraan (nation-building) dan meningkatkan semangat cintakan negara serta menghayati semangat pengorbanan terhadap negara kepada para peserta program. Melalui latihan berkonsepkan pembelajaran melalui pengalaman serta latihan dalam kumpulan, jurulatih memimpin kumpulan bagi mempelajari tentang kenegaraan yang merangkumi Konsep Membina Perhubungan, Konsep Negara dan Konsep Cabaran. Melalui Konsep Negara, Pelatih akan didedahkan dengan Elemen Tanah Air, Elemen Rakyat, Elemen Daulat dan Elemen Kerajaan. Melalui Konsep Cabaran, Pelatih akan didedahkan dengan Elemen Cabaran Dalam Negara serta Elemen Cabaran Luar Negara. Selain dari itu, Program Ceramah Patriotisme “Jejak Pahlawan” juga diselitkan ke dalam modul ini sebagai perkongsian pengalaman serta tunjuk ajar dan bercerita kisah kehidupan sebenar wira-wira Negara bersama pelatih. Modul ini dilaksanakan selama tiga minggu dan bagi menarik minat pelatih, pelbagai kaedah digunakan seperti simulasi, lakonan, dinamik kumpulan, menonton video serta gambar, melukis, berdebat, mentafsir peristiwa dan lain-lain.

MODUL PEMBINAAN KARAKTER
Modul Pembinaan Karakter adalah sebuah modul yang dilaksanakan untuk membina karakter yang berkesan bagi para peserta yang merangkumi personaliti diri, keluarga, komuniti dan negara. Terdapat tiga Modul yang akan dilalui peserta di mana yang pertama menjurus kepada Menampilkan Yang Terbaik Dalam Diri Sendiri, kedua adalah tentang Menampilkan Yang Terbaik Dalam Diri Orang Lain dan ketiga Modul Budaya Kerja. Di dalam Modul Pertama, peserta melalui proses penerokaan diri sendiri, menyedari dan mengenal pasti ciri-ciri diri (seperti aspek kepimpinan), memperkayakan kekuatan dan memulihkan kelemahan diri serta penerapan nilai-nilai murni yang sejagat. Peserta menyedari tentang penglibatan orang lain dalam kehidupan mereka, mengetahui kemahiran untuk bekerja sebagai ahli satu pasukan, cara bertindak sebagai pemimpin dalam kumpulan, dan mengatasi masalah di dalam kumpulan semasa melalui Modul kedua ini. Modul Budaya Kerja pula, peserta dapat mengenal kepentingan budaya kerja dalam sebuah Organisasi, mengetahui ciri-ciri yang dicari oleh majikan dan peserta didedahkan dengan persediaan dan pengalaman menghadiri temuduga. Melalui ketiga-tiga modul ini, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti-aktiviti, ceramah, permainan, latihan dan lain-lain. Selain itu, peserta belajar tentang kejujuran, membuat pilihan, bertanggungjawab, memimpin, menunaikan janji (komitmen) dan membina keyakinan diri. Modul ini dilaksanakan selama Lapan Belas hari (18)  dan peserta dipimpin oleh jurulatih Multiskill.

MODUL KHIDMAT KOMUNITI
Modul Khidmat Komuniti adalah sebuah modul yang dilaksanakan bagi membentuk semangat kesukarelaan dan jatidiri yang kukuh dan padu dalam diri setiap pelatih dan seterusnya dapat menyuburkan kekuatan serta meningkatkan tahap keyakinan diri. Modul Khidmat Komuniti mempunyai lima komponen utama iaitu Kemudahan Awam, Kejiranan, Khidmat Sosial, Alam Sekitar dan Penempatan/Lawatan ke Jabatan/Agensi. 

Ini bermakna, sepanjang program berjalan, para pelatih akan melalui kelima-lima komponen tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan supaya wira dan wirawati mampu memahami aspirasi khidmat komuniti. Melalui komponen-komponen yang dinyatakan, pelatih akan didedahkan pengalaman aktiviti gotong royong seperti mengecat dewan orang ramai, pembahagi jalan, menceriakan taman, lawatan ke rumah-rumah jiran di kawasan kampung, terlibat dengan program anak angkat dan pelbagai lagi. Selain dari itu, pelatih juga akan diberi kesedaran bersama masyarakat tempatan mengenai kepentingan kemudahan awam melalui ceramah ringkas, gotong-royong di rumah-rumah ibadat seperti masjid, kawasan kubur dan sebagainya. Lawatan kebeberapa agensi seperti Bengkel Orang Kurang Upaya, PENGASIH, Hospital, Klinik Desa juga akan dilakukan bagi memberi pendedahan kepada pelatih terhadap peranan dan fungsi agensi berkenaan.

SUMBER PLKN
Artikel terkait

0 Orang Menanggapi Artikel "Apakah Tujuan Program PLKN Dilaksanakan"

Post a Comment