Syarat Pengeluaran Penuh KWSP Kekal 55 Tahun. Cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melanjutkan had umur pengeluaran simpanan persaraan dari 55 tahun kepada 60 tahun telah mendapat pelbagai reaksi dari orang ramai terutama di media sosial. Ramai pengguna laman sosial meluahkan rasa tidak bersetuju dengan cadangan syarat pengeluaran penuh EPF berkenaan yang disifatkan sebagai tidak relevan.
Dan berita baik kepada semua yang tidak bersetuju apabila baru sahaja sebentar tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah mengumumkan yang pengeluaran penuh wang caruman dalam KWSP dikekalkan pada usia 55 tahun. Pengumuman ini tentunya melegakan rakyat, terutama sekali selepas begitu banyak isu yang timbul semenjak akhir-akhir ini seperti kos sara hidup yang tinggi, pelaksanaan GST, 1MDB dan sebagainya.
Ketika menyampaikan ucaptama pada Invest Malaysia 2015 di Kuala Lumpur hari ini, PM memaklumkan yang Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh mengekalkan hak untuk mengeluarkan caruman pada usia 55 tahun. Sebarang perubahan hanya terpakai kepada caruman baharu sekiranya pencarum memutuskan untuk bekerja melepasi usia 55 tahun. Ini memberi keseimbangan antara harapan rakyat terhadap hasil titik peluh mereka pada umur 55 tahun sambil memberi perlindungan kepada mereka sekiranya bersara pada usia 60 tahun.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan lebih 50,000 pencarum yang menyertai proses rundingan dalam talian sepanjang tempoh dua hari. Ia adalah perundingan awam terbesar yang pernah dijalankan. Kaji selidik itu bermula Selasa lalu dan akan berakhir pada 5 Mei 2015.
0 Orang Menanggapi Artikel "Syarat Pengeluaran Penuh KWSP Kekal 55 Tahun"
Post a Comment